Apabila ibu-ibu berkongsi pengalaman sakit ketika mengandung, mereka seringkali berkongsi tentang rasa sakit semasa melahirkan anak seperti kontraksi kuat, sakit jahit, epidural dan lain-lain. Hal ini boleh disalahanggap oleh wanita yang belum hamil di mana kesakitan yang sebenar akan datang sewaktu kelahiran.
Walhal, banyak yang perlu diharungi oleh si ibu ketika hamil 9 bulan!
Mari kita lihat 7 jenis kesakitan yang boleh dialami ibu hamil sewaktu mengandung 9 bulan:
- Sakit Kepala
Ini disebabkan oleh peningkatan jumlah darah dan hormon pada awal kehamilan yang boleh bertambah teruk apabila ibu hamil kurang tidur, menghadapi tekanan atau kesan kerana berhenti minum kopi (bagi peminum kopi tegar).
Sakit kepala juga boleh terjadi kerana postur badan yang lemah akibat berat bayi dalam kandungan yang semakin besar.
- Sembelit
Selain daripada kurang pergerakan fizikal dan pemakanan yang kurang serat, tubuh wanita hamil juga mempunyai hormon ‘progesterone’ yang banyak.
Hormon ini melambatkan sistem pencernaan dan boleh menyebabkan usus memproses makanan dengan lebih perlahan. Rahim yang semakin besar juga akan memberi tekanan pada usus sehingga menghalang pergerakan najis ke usus besar dan dubur.
- Sakit Punggung (Sakit yang paling kerap terjadi)
Sakit punggung adalah sakit yang paling biasa terjadi di kalangan wanita hamil.
Ini disebabkan oleh otot-otot pada bahagian belakang yang tidak cukup kuat untuk menampung berat seorang bayi.
Apabila wanita hamil terpaksa memikul berat janin yang semakin besar, ini akan menyebabkan tekanan dan kesakitan pada tulang belakang dan bahagian punggung.
- Buasir
Buasir adalah penyakit biasa yang akan dialami oleh ibu mengandung.
Dua faktor utama mengapa buasir berlaku adalah:
* Perubahan hormon
* Pembesaran janin yang menyebabkan tekanan ke bahagian dubur
Faktor lain yang boleh mendorong termasuklah meneran semasa membuang air besar dan keadaan sembelit.
- Kesakitan Pada Bahagian Bawah Perut
Dalam pelvis anda, terdapat ligamen yang berfungsi untuk ‘memegang’ rahim supaya ia berada dalam keadaan yang stabil.
Apabila berat kandungan semakin bertambah, berat yang perlu ditanggung oleh ligamen ini akan menyebabkan ia menjadi tebal dan tegang.
Ini boleh menyebabkan ibu hamil rasa tidak selesa atau rasa sakit seperti ditikam di kedua-dua bahagian abdomen bawah.
Kesakitan ini di panggil round ligament pain dan ia boleh dirasakan ketika:
* Bangun dari duduk atau mencangkung
* Melakukan kerja-kerja berat
* Batuk dengan kuat
- Sakit Leher dan Bahu
Lagi-lagi sebab hormon ‘progesteron’. Apabila ligamen di bahu dan leher menjadi longgar akibat hormon ini, digabungkan dengan berat perut yang semakin bertambah, anda mungkin juga akan merasai kesakitan pada leher dan bahu anda.
Bahagian leher, bahu dan tulang belakang saling berkait dan anda mungkin akan rasa sakit secara keseluruhan. Hanya sedikit perubahan dalam postur badan sudah boleh menyebabkan sakit bahu dan leher semasa kehamilan.
- Payudara Sakit
Payudara anda akan membesar semasa kehamilan, dan ia akan jadi semakin sensitif dan sakit apabila disentuh.
Kesakitan ini adalah rasa sakit ketika mengandung yang biasa, bermula sekitar minggu 4 hingga minggu 7 dan semasa trimester pertama.
Sesetengah wanita akan mengadu rasa sakit dan mengelak dari dipeluk semasa fasa ini.