Dr selalu tengok di FB/instgram/tiktok dan lain-lain ramai mommies tanya macam mana nak baca keputusan UPT tu. Ramai yang confuse, positive ke negative keputusan tu kan? Ok cara nya mudah je.
Kalau dah lewat datang period, atau period tak teratur atau ada simptoms mengandung seperti loya-loya, pening dan muntah, so boleh la buat UPT sendiri dulu. Sebaiknya dapatkan urine sample pada waktu pagi. Dapatkan sampel air kencing yang mencukupi, ambil sedikit dan titiskan kedalam bekas UPT tersebut. Tunggu dalam 10-15 minit, tengok ada berapa garisan yang timbul pada UPT kit tersebut.
Kalau 2 line, tu, Alhamdulillah, mommies pregnant la tu. Kalau 1 je line, belum ada rezeki, cuba lagi dalam masa beberapa hari kalau masih belum datang period.
Selepas 15 minit tu, dah dapat bacaan tu, terus je buang kit tu. Jangan tunggu lagi sampai malam karang atau esok pagi. Sebab kalau tunggu, kemungkinan line kedua tu akan timbul juga walaupun mommies tak pregnant. Ni kita panggil false positive. Pastu ada juga mommies yang tanya, kalau line tu blur je, positive ke negative.
Ok UPT ni keputusan dia hanya positive atau negative. Kalau ada line, walaupun samar-samar, tu dah dikira positive. Tapi kalau ada rasa was-was, repeat je balik selepas beberapa hari, biasanya line kedua tu akan jadi lebih terang.
Anemia atau kekurangan sel darah merah masa mengandung ni sangat biasa terjadi. Banyak sebab kenapa berlakunya anemia semasa mengandung ni.
Tapi kebiasaannya, anemia semasa mengandung terjadi sebab
Kekurangan Zat Besi (Iron Deficient Anemia)
Thalasemia (Major/Minor)
So macam mana nak test, mommies ada anemia ke tak? Senang je, masa follow up mengandung tu, Dr akan buat ujian darah beberapa kali untuk pastikan sel darah merah mommies sentiasa cukup sepanjang tempoh kandungan.
Cara nak atasinya adalah dengan mengambil ubat tambah darah. Ada banyak jenis ubat tambah darah. Yang biasa Dr akan bagi adalah seperti
Zinc Coffer
Iberet
Maltofer
Ferrous Fumarate
Obimin
Setiap ubat berbeza dose dan kandungan tambahan lain. So Dr akan bagi ubat yang berbeza mengikut keperluan mommies dan juga yang mana satu mommies boleh makan. So mommies pernah makan yang mana? Yang mana yang xsesuai dengan mommies? Boleh share x experience supaya mommies2 lain boleh dapat tambah pengetahuan juga.
Masa pregnant ni, macam-macam masalah mommies boleh dapat. Salah satunya ialah masalah sembelit. Kenapa berlakunya sembelit masa mengandung ni?
Ada banyak sebab, antara yang biasa berlaku adalah
Sebab mengambil ubat tambah darah, zat besi boleh menyum bang kepada masalah sembelit.
Kurang makan buah dan sayuran, ini biasa berlaku sebab mommies rasa loya muntah, especially sewaktu awal mengandung.
Kurang minum air, ni pun sebab masa mengandung ni, ramai mommies jadi kerap kencing, so mommies akan kurangkan minum air, tapi end up akan jadi masalah sembelit pula.
So cuba banyakkan makan buah dan sayur, selain itu banyakkan juga minum air kosong dan kurangkan air manis ya. Kalau masalah berlarutan, boleh jumpa Dr. Dr akan check takut ada masalah lain, dan Dr boleh cadangkan beberapa jenis ubat yang sesuai.
Bila haid lambat, teruja nak buat ujian kehamilan. Bila dah positif, tiba-tiba ada pendarahan. Mesti berdebar-debarkan?
Jangan terlalu risau. Bukan semua pendarahan semasa awal mengandung itu berbahaya atau berakhir dengan keguguran.
Ada beberapa sebab kenapa berlakunya pendarahan di awal kandungan.
Pendarahan implantasi (Implantation bleeding)
Pendarahan ini berlaku apabila janin mula melekat pada dinding rahim. Ini biasa berlaku pada 4 hingga 6 minggu pertama kandungan. Ia tidak berbahaya dan ibu dinasihatkan banyakkan berehat dan tidak membuat kerja berat.
Jangkitan kuman
Sebarang jangkitan kuman pada saluran kencing atau saluran peranakan juga boleh menyebabkan pendarahan. Jika ini berlaku, kebiasaanya ibu akan mengalami gejala kencing kotor, demam dan sakit di bahagian bawah abdomen. Jumpa doktor supaya rawatan antibiotik dapat diberikan dengan segera. Ini biasanya tidak memberi kesan negatif pada kandungan.
Hubungan seksual
Sewaktu mengandung, lapisan pada vagina tidak lembab dan licin seperti biasa dan ini boleh menyebabkan berlaku geseran dan pendarahan selepas hubungan seks. Ianya bersifat sementara, namun jika berlanjutan dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.
Keguguran
Ada beberapa jenis keguguran yang kita perlu fahami:
Threatened miscarriage
Ada pendarahan namun janin masih hidup dan mampu meneruskan kandungan.
Missed miscarriage
Bayi dalam kandungan telah meninggal namun masih lagi di dalam rahim. Pendarahan sedikit mungkin berlaku dan pembedahan untuk mengeluarkan janin perlu dilakukan.
Complete Miscarriage
Ibu mengandung akan mengalami sakit perut dan pendarahan teruk. Mungkin akan perasan ketulan daging (janin) semasa pendarahan berlaku. Ultrasound scan akan dilakukan untuk memastikan semua hasil kandungan (product of conception/POC) telah keluar dan rahim telah kosong.
Incomplete Miscarriage
Sama seperti complete miscarriage cuma, masih terdapat hasil kandungan (POC) yang belum keluar. Jadi, pembedahan perlu juga dilakukan untuk membersihkan rahim.
Kandungan di luar rahim.
Ini adalah sangat bahaya dan paling kita risau. Ibu mengandung akan mengalami sakit perut, lebih pada bahagian tepi kiri atau kanan, bukan di tengah. Dan sakit tersebut mungkin akan menjalar ke bahu.
Pendarahan akan berlaku. Jika ini berlaku dapatkan pemeriksaan kecemasan di hospital dengan segera. Pembedahan perlu dilakukan untuk mengeluarkan kandungan diluar rahim tersebut.
Bergantung kepada keadaan, jika masih diperingkat awal, kemungkinan salur fallopian masih boleh diselamatkan, namun jika peringkat lewat, dimana tiub telah pecah, maka ia tidak dapat diselamatkan lagi. Tiub akan dibuang dan ibu akan hidup dengan hanya satu tiub berfungsi.
Apabila ibu-ibu berkongsi pengalaman sakit ketika mengandung, mereka seringkali berkongsi tentang rasa sakit semasa melahirkan anak seperti kontraksi kuat, sakit jahit, epidural dan lain-lain. Hal ini boleh disalahanggap oleh wanita yang belum hamil di mana kesakitan yang sebenar akan datang sewaktu kelahiran.
Walhal, banyak yang perlu diharungi oleh si ibu ketika hamil 9 bulan!
Mari kita lihat 7 jenis kesakitan yang boleh dialami ibu hamil sewaktu mengandung 9 bulan:
Sakit Kepala
Ini disebabkan oleh peningkatan jumlah darah dan hormon pada awal kehamilan yang boleh bertambah teruk apabila ibu hamil kurang tidur, menghadapi tekanan atau kesan kerana berhenti minum kopi (bagi peminum kopi tegar).
Sakit kepala juga boleh terjadi kerana postur badan yang lemah akibat berat bayi dalam kandungan yang semakin besar.
Sembelit
Selain daripada kurang pergerakan fizikal dan pemakanan yang kurang serat, tubuh wanita hamil juga mempunyai hormon ‘progesterone’ yang banyak.
Hormon ini melambatkan sistem pencernaan dan boleh menyebabkan usus memproses makanan dengan lebih perlahan. Rahim yang semakin besar juga akan memberi tekanan pada usus sehingga menghalang pergerakan najis ke usus besar dan dubur.
Sakit Punggung (Sakit yang paling kerap terjadi)
Sakit punggung adalah sakit yang paling biasa terjadi di kalangan wanita hamil.
Ini disebabkan oleh otot-otot pada bahagian belakang yang tidak cukup kuat untuk menampung berat seorang bayi.
Apabila wanita hamil terpaksa memikul berat janin yang semakin besar, ini akan menyebabkan tekanan dan kesakitan pada tulang belakang dan bahagian punggung.
Buasir
Buasir adalah penyakit biasa yang akan dialami oleh ibu mengandung.
Dua faktor utama mengapa buasir berlaku adalah:
* Perubahan hormon
* Pembesaran janin yang menyebabkan tekanan ke bahagian dubur
Faktor lain yang boleh mendorong termasuklah meneran semasa membuang air besar dan keadaan sembelit.
Kesakitan Pada Bahagian Bawah Perut
Dalam pelvis anda, terdapat ligamen yang berfungsi untuk ‘memegang’ rahim supaya ia berada dalam keadaan yang stabil.
Apabila berat kandungan semakin bertambah, berat yang perlu ditanggung oleh ligamen ini akan menyebabkan ia menjadi tebal dan tegang.
Ini boleh menyebabkan ibu hamil rasa tidak selesa atau rasa sakit seperti ditikam di kedua-dua bahagian abdomen bawah.
Kesakitan ini di panggil round ligament pain dan ia boleh dirasakan ketika:
* Bangun dari duduk atau mencangkung
* Melakukan kerja-kerja berat
* Batuk dengan kuat
Sakit Leher dan Bahu
Lagi-lagi sebab hormon ‘progesteron’. Apabila ligamen di bahu dan leher menjadi longgar akibat hormon ini, digabungkan dengan berat perut yang semakin bertambah, anda mungkin juga akan merasai kesakitan pada leher dan bahu anda.
Bahagian leher, bahu dan tulang belakang saling berkait dan anda mungkin akan rasa sakit secara keseluruhan. Hanya sedikit perubahan dalam postur badan sudah boleh menyebabkan sakit bahu dan leher semasa kehamilan.
Payudara Sakit
Payudara anda akan membesar semasa kehamilan, dan ia akan jadi semakin sensitif dan sakit apabila disentuh.
Kesakitan ini adalah rasa sakit ketika mengandung yang biasa, bermula sekitar minggu 4 hingga minggu 7 dan semasa trimester pertama.
Sesetengah wanita akan mengadu rasa sakit dan mengelak dari dipeluk semasa fasa ini.
Bagi ramai wanita, trimester pertama adalah waktu yang paling selesa untuk tidur. Badan anda sedang bekerja keras untuk memupuk dan melindungi rumah baru bayi dalam kandungan anda.
Tambahan pula, jantung anda sedang mengepam dengan laju dan badan anda juga menghasilkan lebih banyak darah. Kesemua ini akan menyebabkan keletihan pada beberapa bulan yang pertama. Ramai wanita mendapati mereka sentiasa mengantuk sepanjang masa, dan sangat mudah untuk tidur tidak kira pada waktu siang atau pada waktu malam.
Tetapi, apabila anda memasuki fasa trimester kedua dan ketiga kehamilan anda, dengan perut yang lebih besar, kekejangan kaki, dan kekerapan pergi ke tandas akan menyebabkan malam anda terganggu dan tidur menjadi tidak lena.
Melegakan kekejangan kaki anda
Jika kekejangan kaki yang menyebabkan anda berjaga, lakukan regangan pada bahagian betis sebelum tidur, minum air dengan cukup, dan bersenam selalu — ini semua mungkin boleh membantu mengurangkan berlakunya kekejangan.
Terdapat kajian awal menunjukkan magnesium dapat membantu melegakan kekejangan kaki, tetapi dapatkan bekalan magnesium dari sumber makanan seperti bijian penuh dan kekacang. Jangan mengambil suplemen magnesium tanpa merujuk kepada doktor anda.
Tenangkan kaki anda
Sindrom kaki tidak boleh diam, keinginan untuk sentiasa menggerakkan kaki, mungkin dialami oleh sesetengah wanita semasa hamil dan ianya mungkin disebabkan kekurangan zat besi dan/atau asid folik.
Pastikan diet anda mengandungi zat besi yang mencukupi dengan makan daging tanpa lemak dan ikan. Paling bagus dapatkan asid folik daripada suplemen pranatal, yang mana akan menyokong semua keperluan nutrien anda.
Hilangkan rasa gundah
Jika anda terjaga dengan rasa tak keruan, cuba sertai kelas kelahiran, keibubapaan, ataupun kelas yoga pranatal. Berkongsi dengan bakal ibu yang lain akan membantu mengurangkan kerisauan anda dan membuat anda berasa segalanya dalam kawalan.
Kurangkan pergi ke tandas
Anda rasa terganggu apabila terpaksa berulang-alik ke tandas pada waktu malam? Cuba minum air yang banyak pada awal waktu siang sahaja dan kurangkan pada waktu malam.
Berjaga-jaga penyebab pedih ulu hati
Pedih ulu hati selalu dialami oleh wanita hamil dan boleh menjadi sesuatu yang menganggu pada lewat malam, menggangu tidur malam anda. Cuba makan dalam kuantiti yang sedikit, dan elakkan makanan yang bergoreng atau pedas, jus buah-buahan sitrus, dan minuman berkarbonat. Meninggikan kepala anda (dengan bantal atau meninggikan bahagian kepala Katil anda) juga boleh membantu.